Thursday, April 22, 2010

Cerpen Kesilapan Terakhir


Topik nie dibuka khusus untuk memaparkan koleksi-koleksi Puisi..Sajak...Cerpen dan Pantun yang dicipta oleh Arwahyarhamah Anna Abadi..So apa yang ada disini hanyalah sebuah titipan dari Arwahyarhamah Anna..Sajer jer nur post semua nie..sebab nur nie suka sangat menghayati sajak-sajak ciptaan beliau..Dan kebanyakan sajaknya ada kena mengena dengan perjalanan hidup nur..Dan sajak-sajak inilah yang kadangkala bisa menghapuskan duka dan lara dalam perjuangan nur nie..Moga beliau di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah..Al-Fatihah..

"Hai Boss!" sapa Atila dengan senyuman menggodanya. Hanya dia yang berani menyapaku sedemikian. Para pekerja yang lain secara rutinnya mengucapkan "Selamat Pagi, Tuan!' sambil menundukkan kepala. Aku dihormati kerana kedudukanku sebagai boss di Menara Berhad. Aku mempunyai ramai pekerja tetapi Atila yang paling mendapat perhatian istimewaku.


Segala karenahnya tidak pernah menimbulkan kemarahanku, sebaliknya cukup menghiburkan hatiku. Seharian dengan formaliti di pejabat dan urusan kerja menyebabkan keletah nakal Atila pemecah kesunyiaanku. Pelik bukan? Walaupun dilingkungi manusia yang taat dan hormat padaku, kadangkala aku berasa begitu sunyi apabila berada di kerusi paling empuk di syarikat ini. Kini, segala kesepian yang melanda jiwaku telah diisi oleh gadis ayu bernama Atila.

Teringat kembali ketika menemuduga bakal setiausaha baruku. Waktu yang suntuk menyebabkan aku terpaksa membuat temuduga terbuka. Terlalu ramai calon yang layak dan berkebolehan tetapi Atila jua yang kupilih. Peliknya Atila tidak punya kelulusan dan pengalaman yang layak tetapi terlalu berani mencuba nasib di syarikat ini.


Keberanian Atila itulah membuatku lebih tertarik padanya. Bila kuajukan soalan, dia hanya tersenyum-senyum jika tidak tahu jawapan. Ah! Betapa manisnya senyumannya. Jika mampu menjawab, dia akan menuturkan baris-baris kata yang penuh manja sambil diselangi ketawa menggoda. Dan begitu berani Atila mencubit tanganku apabila aku sengaja mengusiknya dengan gurauan.

Penampilannya yang menggoda sudah pasti mencairkan keimananku. Tanpa mengendahkan kelulusan SPMnya yang hanya sekadar S.A.P , aku juga begitu berani mengambilnya bekerja di syarikatku. Aku sedar calon-calon lain yang lebih layak pasti kecewa sekiranya tahu aku memilih Atila hanya kerana faktor peribadi. Aku sememangnya tidak mampu menewaskan aura Atila yang menusuk tepat ke dadaku. Aku kalah dengan daya tarikannya.


Tanpa sedar, Atila sudah berada dihadapanku sekaligus mematikan lamunanku.Wangian 'Chanel' semerbak bau sudah kuhafal aromanya. Wangian itu pemberianku ketika Atila pertama kali menjejak kaki ke syarikat ini untuk berkhidmat. Sungguh cepat aku tergoda dengan Atila. Dan masih kuingat Atila menjerit riang ketika membuka kotak bungkusan yang comel itu. Terpancar jelas cahaya kegembiraan di wajahnya yang berseri-seri. Terus Atila menyembur wangian mahal tersebut di blouse putih nipisnya dan juga menyembur di atas kot yang kupakai! Hari itu, seluruh pejabat tertanya-tanya kenapa boss dan setiausaha baru memakai wangian yang seakan sama!

"Boss……minit mesyuarat tu belum siap lagi. Tila tak ………." Belum sempat Atila menyudahkan ayat, aku menutup bibir mungilnya. Dia terdiam." Tak apa. Suruh Lucy bantu siapkan. Tila hanya taip saja…Nanti saya beritahu Lucy …." jelasku. Aku tahu Atila tidak mampu membuat minit mesyuarat yang baik. Dia masih belum mahir menguasai bahasa perniaagaan, terutamanya jika perlu dipersembahkan dalam bahasa Inggeris. Mata Atila tiba-tiba redup memandangku. Seperti diduga, dia duduk di atas ribaanku dan aku akur merelakan…….Pintu tertutup rapat terkunci.


Seperti hari-hari yang lepas, Atila melayanku begitu istimewa. Setiap pagi dia membancuh kopi yang paling enak untukku dan kadangkala mencuri masuk bilik pejabatku hanya untuk bersamaku. Jika aku begitu sibuk menjawab panggilan atau menyudahkan kerja, Atila begitu ringan tulang mengemas mejaku dan rak-rak yang kadangkala berselerak dengan fail dan buku. Bunga-bungaan segar sentiasa menghiasi mejaku. Ros merah adalah bunga kesukaan Atila dan hampir setiap hari Atila akan menukar -ganti. Kadangkala jika Atila rasa tertekan dengan kerjanya, dia akan meluru masuk ke dalam bilikku dan tidur di atas sofa empukku. Tidak pernah risau dilarang olehku. Sedangkan orang lain terpaksa bersusah-payah membuat ‘appointment’ untuk menemuiku. Para pekerja lain pun perlu mendapat keizinan melalui interkom untuk berurusan denganku. Ah! Aku sudah masak dengan perangai Atila. Malah sifat keanak-anakannya mencuit hatiku.

Hasil kerja Atila sebenarnya tidaklah memuaskan seperti yang kuharapkan. Aku tahu Atila terbeban dengan kerja yang di luar keupayaannya. Dia tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman yang mencukupi. Oleh itu, kebanyakan kerja rumit dan penting terpaksa aku serahkan kepada Lucy, salah seorang pekerjaku yang setia. Dia tidak pernah merungut atau mempersoalkan kerelevenan Atila dalam syarikat.


Aku teringat bagaimana Atila terpinga-pinga mempelajari segala yang baru. Terkial-kial dia belajar menggunakan komputer dan Internet. Namun kukagumi sikapnya. Atila begitu tekun belajar dan banyak menunjukkan peningkatan. Walaupun kadangkala agak hampa dengan persembahan kerjanya, aku masih mahu Atila berkhidmat di bawah bumbung syarikatku. Merenung wajah ayunya setiap pagi bagai memberi semangat pada diriku. Jika dia tidak datang bekerja, akulah orang yang paling gelisah.

Atila miripnya lebih kepada pembantu peribadiku. Dia bijak dan cekap mengatur temujanji. Rutin harianku yang sibuk berada dalam genggaman Atila. Malah, sekiranya aku terpaksa ‘outstation’, aku tidak ragu-ragu membawa Atila bersama atas nama Setiausaha Peribadi.Hubunganku dengan Atila semakin mesra .Dia juga semakin berani. Walaupun aku dan Atila cuba melindungi dengan penuh rahsia, gosip-gosip mula kedengaran. Akhirnya satu syarikat tahu aku mempunyai hubungan sulit dengan Atila. Ia menjadi satu skandal . Dinding pun seolah-olah berkata-kata! Cuma orang tidak berani bercakap didepanku. Kuasa dan pengaruh yang aku miliki menyebabkan tidak ada seorang pun yang sanggup membantah tindakanku.


Kehadiran Atila disampingku di majlis-majlis formal dan sosial juga seperti direstui. Kemesraan kami kadangkala tidak dapat disorok. Ia berlaku secara spontan walau kami cuba berlagak seperti hubungan majikan dan pekerja..Rakan-rakan seperniagaaanku pula seakan memejam mata sehingga terdetik di hatiku kemungkinan mereka juga mempunyai rahsia-rahsia peribadi tersendiri.

"Setiausaha tu sungguh menawan. Bertuah kau dapat yang muda dan cantik" kata-kata seperti itu sudah kerap kudengar dari rakan-rakanku. Bernada sinis tetapi tidak ada yang berani mengorek rahsia. Ia berhenti di situ seolah-olah mereka memahami kemelut yang sering terjadi dalam lingkungan sosial sepertiku.


Namun, fikiranku pula semakin berkecamuk. Ketenangan mula tergugat. Aku dalam dilemma. Rumah bangloku sudah kerap aku tinggalkan berhari-hari. Bila kujenguk, hanya sekadar menukar baju. Ironisnya, aku lebih rela menghabiskan malamku di pusat-pusat karoeke dan hiburan bersama Atila. Berseronok dengan kawan-kawan di kelab esklusif atau di padang golf di hujung minggu. Sesekali melancong ke tempat-tempat peranginan. Semuanya bersama Atila yang manis dan manja. Aku kadang-kadang tidak mengerti bagaimana diriku dirasuk sedemikian rupa sehingga terlupa pada…Zulaikha.

Zulaikha…wanita yang sudah sekian lama berkongsi hidupku. Bersama-sama bersusah-payah mengharungi onak dan ranjau di zaman kesusahanku. Sanggup berkorban harta dan nyawa semata-mata mahu melihatku berjaya. Bergolok-bergadai ketika aku dalam kesulitan. Dia begitu bahagia bersamaku ketika susah…tetapi menderita ketika aku dalam kesenangan dan puncak karier..Walaupun kini aku dapat memberikannya kemewahan..tetapi kemewahan tidak dapat membeli kebahagiaan dan kasih sayang yang hilang………..


Sofea dan Safuan. Cahaya mataku yang comel dan semakin membesar hasil perkongsian hidupku dengan Zulaikha. Pasti mereka kini rindukan belaian seorang ayah. Sudah lama mereka tidak kubawa bersiar-siar atau bercuti bersama. Adakah mereka masih memanggilku ayah sekiranya tahu aku telah menghancurkan hati ibu mereka sendiri?

"Eh abang…bila bang balik? Zu tak sedar abang sampai.."isteriku menyambutku dengan senyuman sambil mengucup tanganku. Tetap mesra dan penuh kasih walau berhari-hari kutinggalkan tanpa sebarang berita. Di sudut hatiku, kecewa dengan reaksinya .Aku mengharapkan dia akan bermasam muka atau memarahiku. Aku sebetulnya dihukum. Mengapa tiada amarah darinya? Sudah pasti gosip hangat hubungan aku dan Atila sudah sampai ke telinganya. Aku mahu dia marah padaku yang sememangnya tidak layak lagi digelar suami! Aku wajar dihukum bukannya disambut dengan kasih sayang! Ah Zulaikha..begitu tabah hatimu……….Suamimu ini sudah hampir hilang kewarasan!


Perasaan bersalah, jijik dan kotor mulai melingkari diriku. Aku bukan seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab! Aku telah curang pada isteriku yang selama ini begitu setia dan menaruh sepenuh kepercayaan kepadaku. Dan aku telah mengabaikan anak-anakku yang masih memerlukan kasih sayang seorang ayah……..

Didorong perasaan bersalah tetapi begitu ego mengakuinya, aku bergegas keluar. Zulaikha memegang erat tanganku."Abang…abang belum makan lagi.Zu dah masak lauk kegemaran abang…Sambal petai udang. Makanlah dulu,bang…"rayu Zulaikha. Aku menolak tangannya. Tergamam Zulaikha dengan perlakuan kasarku.


"Abang outstation lagi………"itu saja penjelasan dariku. Dan kulihat air mata beningnya menitis laju ketika kumelangkah pergi. Maafkan abang, Zulaikha…….Berhari-hari aku dihimpit rasa berdosa. Atila sedaya-upaya menceriakan hatiku dengan usikan dan gurauan nakalnya. Pelbagai cara dia lakukan hanya untuk mengembalikan senyumanku. Hatiku seumpama bertukar menjadi batu. Aku sudah tidak mampu untuk tersenyum…apatah lagi untuk bermesra-mesraan dengan Atila seperti dulu. Atila mula menarik muka masam. Tetapi rajuknya tidak panjang. Melihatku tiada reaksi untuk memujuknya, dia kembali tersenyum dan semakin cuba mengambil hatiku. Kasihan Atila…Aku tidak berdaya lagi melayan karenah manjanya.

Apa kurangnya Zulaikha berbanding Atila??Aku cuba mencari-cari kekurangan isteriku supaya rasa bersalahku tidak begitu terasa. Ahhh..Atila lebih cantik, muda, manja, lincah, dan menggoda!Atila pandai mengambil hatiku….Atilah segalanya!Tetapi adakah itu ukurannya untuk membezakan dia dengan Zulaikha? Zulaikha juga mempunyai kecantikannya tersendiri. Dan dia juga mempunyai cara yang tersendiri untuk mengambil hatiku. Walaupun tidak selincah Atila, Zulaikha adalah seorang wanita yang penuh kelembutan dan kesopanan budi pekerti. Jiwanya penuh kecintaan terhadap suaminya dan perwatakan keibuannya sesuai untuk mendidik anak-anakku. Zulaikha menjadi sokongan ketika aku tiada dahan untuk berpaut! Ah! Adakah Atila wajar mengambil tempat Zulaikha? Zulaikha bersamaku ketika susah dan senang manakala Atila hadir dalam hidupku ketika aku dilimpah kemewahan! Maafkan aku lagi, Zulaikha..


Nekad aku ingin kembali kepada Zulaikha.Sudah begitu lama aku melupakan tanggungjawabku sebagai suami dan ayah.Biarlah Zulaikha menghukumku. Biarlah aku terbakar dengan api amarahnya…Meninggalkannya lagi ada sesuatu yang mustahil kulakukan. Aku juga sudah tidak sanggup berpisah dengan Sofea dan Safuan. Aku sedar akan kesilapanku. Antara kaca dan permata…mana mungkin aku melepaskan permata yang sekian lama kubelai dan kulindungi. Biarlah kesilapan ini menjadi kesilapan terakhirku…….

Atila…Gadis ayu itu terpaksa aku lepaskan pergi. Walaupun aku tahu hatinya remuk dan kecewa, dia begitu memahami kedudukanku sebagai suami orang dan reda dengan keputusanku. Rupa-rupanya Atila telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia dapat mengagak perpisahan itu bakal terjadi.


" Abang..Tila sedar perpisahan itu jalan terbaik memulihkan keadaan. Tila tidak mahu nama abang terjejas. Tila tidak sanggup melihat abang tersungkur jatuh hanya kerana seorang wanita seperti Tila. Biarlah Tila membawa diri…"ucapnya bergetar. Aku tahu Atila cuba menahan tangisan. Hatiku juga sebak untuk menerima perpisahan ini. Atilaku yang manis …Terlalu berat bagiku melepaskannya pergi.

"Atila hanya menumpang kasih, bang. Tidak mungkin Atila mahu menghancurkan rumahtangga abang dan merampas kebahagiaan orang lain..Kak Zu bertuah memiliki abang…Atila yang bersalah mengeruhkan suasana. Atila tidak sepatutnya berada di sini." katanya lagi. Aku terdiam. Tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Aku akan kehilangan Atila. Atila sanggup berkorban untuk kebahagiaan diriku. Diriku terasa begitu kerdil…
" Abang..jangan diulangi kesilapan yang telah kita lakukan. Biarlah kesilapan ini kesilapan terakhir…."ucapnya dengan tabah sebelum melangkah pergi meninggalkan Menara Berhad. Atila tidak berpatah balik. Tidak juga melihat ke belakang lagi. Aku sedar ini bukan khayalan….Tanpa disedari, air mata lelaki menitis ke lantai.
Terima kasih Atila di atas pengertianmu. Ya..kesilapan ini adalah kesilapan terakhir…Aku tidak mahu lagi terkeluar dari landasan..Aku berjanji, Zulaikha!

Categories

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Maya Nur Annawairah Design with love by CikBulat